Wednesday, June 19, 2013

Ais Krim Malaysia Perisa Asam Boi


Ais Krim Malaysia perisa asam boi


Esok Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengadakan Karnival DBP sempena menyambut hari ulang tahun DBP yang telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Bukit Chandan, Johor Bahru.  Sekarang DBP  telah pun mempunyai bangunan yang tersergam indah di Jalan Dewan Bahasa.  Bahagian Komunikasi Korporat telah mempelawa setiap bahagian untuk turut serta dalam membuat jualan untuk menceriakan suasana.   Aku juga ingin turut serta dalam karnival tersebut.  Memandangkan staf di Ptd. Jabatan Penerbitan tidak ramai, lantas aku merancang untuk menjual barangan kering seperti kekacang, keropok bantal, kuaci biji matahari dll. Aku juga telah membeli meja tambahan RM5.00 untuk aku menjual barangan peribadiku seperti bebola sotong, nugget, sosej dan juga Ais Krim Malaysia perisa asam boi dan kacang hijau.  Di sini aku sertakan resepi untuk membuat bahan Ais Krim Malaysia perisa asam boi.

Bahannya

Asam boi merah
Asam boi putih
Gula kasar
Air
(Kuantiti terpulang pada anda)

Masukkan air ke dalam bekas yang agak besar.
Panaskan air.  Masukkan asam boi merah, asam boi putih dan gula.
Biarkan hingga betul-betul masak dan menggelegak.
Sejukkan apabila telah betul-betul masak.

Apabila telah sejuk masukkan ke dalam plastik dan masukkan juga sebiji dua asam boi ke dalam plastik tersebut.
Ikat dengan padat dan ketat.
Masukkan ke dalam peti sejuk.

Nah!! leganya apabila anda betul-betul dahaga...sedapnya..........

Saturday, May 18, 2013

Nasi Lemak Ikan Bilis






Aku amat menyukai nasi lemak.  Boleh dikatakan 3 kali seminggu aku akan memakan nasi lemak.  Kadang kala aku membuat nasi lemak di hujung minggu.   Anak-anakku juga menggemari nasi lemak.  Bagi ibu-bu muda yang ingin membuat nasi lemak, di sini disertakan resepinya.


Bahan Untuk Nasi Lemak

3 pot beras
sedikit air
santan
secubit garam
1/4 inci halia
sehelai daun pandan

Cara:

Basuh beras 2-3 kali.
Masukkan air mengikut sukatan (kurangkan sedikit supaya tidak lembik)
masukkan santan, garam, halia dan daun pandan.
Tanak sehingga masak. 

Bahan untuk Sambal Tumis

Ikan bilis - terpulang mengikut jumlah
Cili kering 15  - 20 biji
Bawang besar - 2 ketul
Bawang kecil - 5 - 6 biji
Minyak masak
Garam
Gula
Asam jawa

Cara:

Cili kering direbus hingga lembut.  Basuh dan buang bijinya. Kisar bersama bawang besar 1 biji, bawah kecil sehingga lumat.
Goreng ikan bilis sehingga setengah garing dan asingkan.
Panaskan sedikit minyak.  Masukkan cili yang dikisar.  Masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi.  Kacau sehingga rata dan sebati.  Masukan garam, gula, air asam jawa.  Apabila betul-betul masak masukkan kepingan bawang besar yang telah dipotong bulat.

Sayur Kangkung Goreng

Bahan:

Sayur kangkung
Bawang kecil 2 biji
bawang putih 1 ulas
ikan bilis


Cara:

Bawang kecil, bawang putih dan ikan bilis ditumbuk halus.
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga naik baunya.
Masukkan sedikit garam.  Kemudian masukkan sayur kangkung.  Kacau sehingga sebati. Apabila sudah sebati bolehlah diangkat.

Telur direbus dan dibuang kulit.  Potong dua.
Timun di potong kecil.
Kacang tanah digoreng bersama ikan bilis halus. Setelah masak masukkan sedikit  garam dan gaul.



 
 
 





Thursday, March 21, 2013

Ayam Masak Merah




Ayam Masak Merah
 
Bahan:

1/2 ekor ayam (terpulang jika ramai buatlah seekor ayam)
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1/4 inci halia
2 biji buah tomato
4-5 sudu besar sos tomato
minyak masak 4-5 sudu
2 sudu cili kisar (cili kering yang dikisar jika hendak pedas sedikit)
Garam secukup rasa
1/2 sudu gula
2 keping asam keping

Cara:

1.  Ayam dibasuh bersih.   Goreng ayam  (jangan terlalu masak) angkat dan asingkan.
2.  1 biji bawang besar dihiris bulat-bulat atau setengah bulat.  Asingkan.
3.   Dua biji bawang besar, bawang putih, halia, buah tomato dikisar halus (campur sedikit air).
4.  Tumis bahan yang telah dikisar tadi. 
5.  Masukkan cili kisar.
6.  Masukkan tomato sos. Gaul hingga sebati.
7.  Masukkan ayam, gula, asam keping.  Gaul lagi hingga ayam sebati dengan kuahnya.
8.  Masukkan garam secukup rasa.
9.  Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris bulat-bulat atau setengah bulat.
10.  Gaul lagi hingga nampak warna agak gelap sedikit.
11.  Jika anda suka yang berkuah, jangan masak terlalu lama.  

Letakkan di dalam bekas.  Untuk menambahkan seri pada ayam masak merah, potong cili besar bentuk bunga dan letakkan sedikit daun salad di atas masakan anda.
Sedap dimakan bersama nasi putih.

Selamat mencuba.




Friday, August 3, 2012

Udang Goreng Butter





Bahan:
Udang Besar
5 sudu besar buttercup
2 biji putih telur dan 1 biji kuning telur (dipukul)
1/4 cawan susu cair
2 biji bawang putih (dicincang)
sedikit lada hitam
Garam dan  sedikit gula.
Caranya:
1. Panaskan 2 sudu besar buttercup ke dalam kuali.  Goreng udang besar hingga setengah masak.  Angkat dan ketepikan dahulu.
2.  Tambah 3 sudu besar buttercup tadi dalam ke dalam kuali di atas api yang sederhana.
3.  Masukkan bawang putih dan kacau.  Kemudian masukkan telur dan kacau selalu.  Gunakan hujung garpu untuk mengacaunya.
4.  Masukkan susu cair, garam dan gula.  Kacau sehingga semuanya sebati.
5.  Akhir sekali masukkan udang setengah masak tadi dan goreng hingga garing.
Cubalah, amat mudah dan ringkas.
Sumber: Facebook (Masakan bonda)

read more at here

Saturday, July 7, 2012

Nasi Ayam

Nasi Ayam







Bahan:
Beras - ikut berapa ramai orang
Ayam - 1 ekor
Halia  tua 1/2 inci
Halia muda - 1/4 inci
Bawang kecil - 3-4 biji
Bawang putih 10 ulas
buah tomato - 3 - 4 biji
Cili kampung/Cili Api - 4=5 biji
Cili besar - 5 biji
Daun salad
Timun
Kicap pekat
Bawang putih
kiub sup ayam
kulit kayu manis
bunga lawang
buah pelaga 3-4 biji

Cara:

A.  Sup Ayam
1. Ayam dibelah empat.  Basuh sehingga bersih.
2. Rebus ayam bersama air ke dalam periuk.  Biarkan sehingga ayam ditenggelami air     sepenuhnya (kerana air rebusanan ayam nanti akan digunakan untuk menanak nasi).
3. Hiris bawang kecil (3-4 biji), bawang putih (4-5 ulas) dan halia tua.  Masukkan ke dalam  periuk yang berisi  ayam.
4.  Masukan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
5.  Masukan kiub sup ayam (1/4 sahaja).
6.  Apabila sudah menggelegak, tuang air rebusan ayam ke dalam mangkuk besar.  Jangan habiskan kerana baki air rebusan boleh digunakan semasa makan nanti.
7.  Keluarkan ayam dan letakkan dalam bekas besar (besen plastik).
8.  Jika air rebusan tinggal sedikit tambah air dan rebus hingga mendidih. Masukkan garam dan daun sup.

B.  Nasi Ayam
1. Basuh beras.  Apabila air bilasan telah dibuang, Masukkan air rebusan tadi ke dalam periuk nasi.  Air hendaklah  cukup seperti anda memasak nasi biasa.  
2. Masukkan sesudu mentega dan sedikit garam.  
3. Tanak sehingga masak.


C. Ayam Goreng
1. Masukkan kicap anggaran 1/4 cawan kecil. 
2. Tumbuk bawang putih 4-5 ulas bawang kecil.  Campurkan ke dalam ayam yang telah dicampur kicap tadi.
3. Masukkan sedikit madu lebah (1-2 sudu)
4. Gaul kesemuanya dengan ayam dan biarkan dalam 30 minit supaya sebati.
5. Setelah 30 minit bolehlah digorengayam tersebut dengan menggunakan minyak masak.


D. Sos Ayam
1. Ambil Cili Api dan cili besar. Masukkan ke dalam blender.
2. Masukkan buah tomato sebanyak 2 biji. 
3. Masukkan halia muda 1/4 inci.
4.  Masukkan air yang sudah dimasak ke dalam blender.
5.  Blend bahan no. 1 hingga no. 5.
6. Apabila sudah siap diblend, masukkan ke dalam periuk kecil.  
7. Masukkan sedikit gula (1 sudu kecil), dan tomato sos.
8.  Masakkan sos tadi supaya lebih tahan lama...

E. Sos Kicap
Baki air kicap di dalam besen tadi dimasukkan ke dalam mangkuk untuk dibuat sos kicap.


Apabila kesemuanya telah siap dari A-E, bolehlah dihias seperti gambar di bawah untuk menarik perhatian anak-anak.
Selamat mencuba...

Saya cuba belajar nasi ayam adalah kerana http://posts.fanbox.com/ttqp4


Ayam Goreng dihias dengan timun dan  buah tomato

Nasi Ayam
sos 

sup ayam

set Nasi Ayam


Anakku makan nasi ayam sebelum ke sekolah













Saturday, February 26, 2011

MEE GORENG

Thursday, November 18, 2010

MARI BUAT COKLAT

Saya seorang yang gemar makan coklat.  Pelbagai jenama  coklat yang  mempunyai logo halal telah saya beli dan saya akan memakannya ketika saya sedang berehat-rehat atau sambil menonton televisyen dan kadang kala bersantai di tepi sungai atau di mana jua.  Adik saya juga sering membeli coklat apabila ia pergi ke luar negara.  Saya dapat juga merasai sedikit pemberiannya coklat yang dibelinya kepada kami adik beradik sebagai buah tangan.  Saya juga pernah membeli coklat di Hungary (semasa saya pergi ke sana  dalam satu rombongan kebudayaan DBP) tetapi adik saya menasihati saya agar tidak memakannya kerana terdapat kandungan lemak binatang dan tidak pasti binatang apa di dalamnya.  Dengan berat hati saya telah memberikan coklat tersebut kepada kawan yang bukan muslim.

Pada suatu hari kawan saya Rosilawati Yusof menunjukkan coklat yang dibuat oleh  kawan kami Kak Alijah.  Rosilawati telah memberi kepada  saya sedikit untuk merasai coklat buatan Kak Alijah.  Hmmm sedap juga...tak cukup pula.  Tapi apa kan daya, coklatnya pun sedikit sahaja setelah dipotong-potong dan diagihkan kepada kawan-kawan yang lain.

Apabila saya terdengar Kak Alijah akan mengadakan kelas membuat coklat, saya begitu teruja untuk mengetahui cara membuat coklat itu.  Dengan bayaran RM50.00 seorang di bawah anjuran PUSPANITA DBP saya terus memberi nama untuk mengikuti kelasnya.  Biasanya untuk belajar membuat coklat, yurannya selalunya agak mahal.   Aabila Kak Alijah hendak mengadakan kelas membuat coklat  gembiranya saya tidak terkira.  Memandangkan tempat yang akan diadakan di bahagian lain sempit, lalu saya mencadangkan agar dibuat di Bilik Koleksi Buku Cetak Ulang, kerana bilik tersebut telah dikosongkan.


Peralatan disediakan untuk peserta

Di dalam kelas tersebut  menerangkan cara membuat coklat yang asas sahaja.  Rupa-rupanya begitu mudah untuk membuat coklat. 

Peralatan yang digunakan:

Pemanas air (Cerek atau apa juga yang boleh memanaskan air)
Mangkok stainless steel (mangkuk yang selalu digunakan oleh orang India)
Senduk plastik atau kayu
Pisau.
lapik pemotong.
Acuan coklat (mengikut suka)
Slow Cooker/Warmer


Peralatan yang digunakan dalam kelas kami
Bahan:
Bar Coklat (jenama Baryl's)
Badam
walnut

 
Inilah bar coklat yang kami guna.  Jangan lupa covernya warna oren.

Cara Membuatnya:
  1. Potong bar coklat kecil-kecil agar mudah dicairkan. Gunakan pelapik pemotong yang khas dan elakkan pelapik pemotong yang pernah digunakan untuk memotong ikan (Nanti berbau hanyir pula).  Terpulang kepada anda untuk memotong berapa bar mengikut jumlah yang dikehendaki. (Untuk menjimatkan masa, jerang air panas sebelum memotong bar coklat).

Zakiah sedang memotong bar coklat. Jari sampai melecet kerana berlumba-lumba dengan kumpulan lain siapa yang lebih cepat.  Kelas masakan pun nak berlumba.

2.  Masukkan kepingan kecil coklat yang telah dipotong ke dalam mangkok stainless     steel. 
3.  Ambil air panas yang baru sahaja menggelegak dan masukkan ke dalam mangkok pemanas. 
4.  Letakkan mangkok yang berisi coklat di atas mangkok pemanas agar kepingan coklat cair.  Kacau perlahan-lahan sehingga kepingan coklat cair.
5. Masukkan coklat cair tadi ke dalam paper bag. Jangan terlalu banyak.  Potong di hujung paper bag untuk mengeluarkan coklat yang cair tadi.





Begitu khusyuk pelajar Kak Alijah melihat bagaimana memotong paper beg

6.  Ambil acuan yang anda suka.  Masukkan sebahagian coklat cair tadi di dalam acuan tersebut.  Kemudian masukkan walnut/badam atau apa jua yang anda suka.  Masukkan lagi coklat cair untuk menutupi walnut/badam tadi.  Ulang seterusnya pada bahagian acuan yang masih kosong.

Kak Ani sedang memilih acuan yang hendak digunakan
7.  Biarkan ia sejuk dan keras.
8.  Apabila telah keras, pusingkan acuan itu ke bawah dan tekan acuan coklat itu agar coklat itu keluar dari acuan tersebut.


Cecair coklat sedang disejukkan
9.  Kumpulan coklat yang telah dikeluarkan dalam acuan.  Masukkan coklat tersebut ke dalam acuan kertas agar lebih nampak cantik.


Masukkan coklat tersebut ke dalam acuan kertas (Terpulang warna apa yang anda suka)
10.  Kumpulkan semua coklat yang telah dimasukkankan ke dalam acuan kertas dan seterusnya bolehlah anda masukkan ke dalam bekas coklat yang kedap udara.



Coklat yang telah dimasukkan acuan kertas. Che Chah dan Syila sambil susun sambil makan..
Diagihkan kepada peserta yang menghadiri kelas membuat coklat