paparan

Jumaat, 16 Mac 2018

Sup Kambing

Aku dan keluargaku memang suka makan sup kambing.  Antara yang paling aku suka di Jalan Pahang, di belakang masjid.   Di restoran tersebut juga menjual sup lain seperti sup lembu, sup ayam dan tidak ketinggalan popia basah yang juga menjadi kegemaran suamiku dan anak-anakku.   Aku pula makan kambing tersebut dan dicicah dengan roti untuk mengelakkan supaya perutku tidak penuh sekiranya aku sudah makan nasi di waktu tengahari.


Pernah juga aku mengendeng kepada pekerjanya untuk mendapatkan resepi sup tersebut atau apakah rempah yang mereka guna.  Tetapi biasalah adat orang berniaga, mana mungkin mereka akan memberinya kerana itu adalah rahsia supaya pelanggan akan sentiasa akan pergi ke restoran tersebut untuk merasai keenakan sup kambing mereka.

Aku juga pernah mencuba menggunakan pelbagai resepi untuk mendapatkan rasa yang sama seperti sup di Jalan Pahang tersebut.   Tetapi semuanya gagal belaka.  Pernah juga seorang kawan sepejabatku memasak sup tulang di pejabat menggunakan periuk yang menggunakan tekanan (presure cooker), walaupun sedap tetapi rasa sup tersebut masih tidak sama dengan restoran tersebut. 

Suatu hari, selepas aku menemani suamiku ke IJN untuk membuat CT-Scan, kami berdua lantas ke sana untuk makan tengahari.    Perutku terasa lapar kerana sejak dari pagi tadi aku tidak bersarapan kerana kami perlu segera ke IJN kerana telah membuat temujanji  di IJN jam 10.00 pagi.   Suamiku dikehendaki berpuasa selewat-lewatnya 4 jam sebelum membuat CT-Scan tersebut dan ini bermakna dengan aku sekali berpuasa supaya kami sampai pada waktunya.

Aku memesan sup kambing dengan nasi kosong dan suamiku pula sup kambing dengan popia basah.   Aku cuba merasai kuah sup tersebut sambil memikir  rempah apakah yang digunakan oleh restoran tersebut.    Ini adalah kerana di peti aisku sudah ada tulang lembu yang aku beli untuk aku buat sup tulang.

Sup Kambing di Jalan Pahang


Kebetulan pada suatu hari, aku tidak datang ke pejabat kerana kepalaku sakit dan badanku juga tidak sihat,  lantas aku mengambil keputusan untuk membuat sup tulang.   Di dalam kepalaku sedang memikirkan untuk membuat sup tulang ala masakan Siam atau sup tulang ala masakan mamak.   Akhir sekali aku mengambil keputusan untuk membuat sup tulang ala masakan mamak.

Dengan menggunakan campuran rempah dengan  nisbah 1:2, iaitu 1 senduk nasi rempah kurma dan 2 senduk nasi serbuk ketumbar, aku pun menumis rempah campuran tersebut dan seterusnya masukkan tulang dan air dan masak sehingga empuk.   Ketika aku mereneh tulang tersebut supaya lembut, anakku yang baru pulang dari sekolah bertanya apakah yang aku masak hari itu kerana baunya yang sangat menyelerakan.

Setelah aku memasukkan garam dan aku cuba untuk merasai sup tersebut, alangkah gembiranya hatiku kerana rasanya juga hampir sama dengan sup di Jalan Pahang.   Alhamdulillah akhirnya aku berjaya juga untuk membuat sup tersebut dan tidak perlulah aku ke sana lagi sekiranya aku boleh memasaknya sendiri.






1 ulasan:

michelle berkata...

ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000 :d
dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q :-* (f) (f) (f)

Nasi Arab Kabsah Ayam

  Hari ni nak kongsi nasi arab kabsah ayam yang saya sudah cuba beberapa kali.   Sebelum saya mencuba untuk membuatnya, terlebih dahulu saya...