paparan

Ahad, 13 Jun 2021

Bihun Goreng/Mihun Goreng

Bila nak buat blog tentang bihun goreng ni dah kelirulah pulak tentang tajuk.  Sebab ada yang kata Bihun Goreng dan ada yang panggil Mihun Goreng.  Makanya saya letakkan dua-dua nama ini sebab bendanya sama saja.  Suami kata masakan Bihun Goreng saya sedap dari makan di kedai.   Tapi saya rasa sama saja, mungkin kita boleh letakkan pelbagai bahan supaya ia sedap dan lebih variasi.   Saya juga mempelbagaikan bahannya mengikut bahan apa yang ada dalam stok.

Bahan yang diperlukan

1 bungkus Bihun - direndam dengan air sehingga lembut dan toskan

Udang saiz sedang - 10 ekor (ikut suka jika yang suka udang boleh letakkan lebih)

Sotong 2 ekor - saiz sederhana (dipotong kecil)

Daging - potong nipis supaya mudah empuk (terpulang pada anda mengikut kuantiti bihun)

Bebola ikan/kek ikan

1 biji bawang besar (dihiris)

2 biji bawang merah (dihiris)

5 ulas bawang putih (dihiris)

Cili kering kisar 4 sudu besar (jika tiada boleh saja beli cili kisar yang dijual)

Sos cili - 2 sudu besar

Sos tomato - 3 sudu

Sos tiram - 1 sudu

Sos kicap manis - 2 sudu

Sedikit garam, gula dan perisa (ikut rasa masing-masing)

Minyak masak 5 sudu besar (Ikut jumlah bihun anda)

Bihun direndam sehingga lembut

Bihun ditos selepas lembut direndam

Daging dihiris nipis


Udang basah saiz sederhana

Sayur sawi 

Taugeh


Bawang merah/bawang besar/bawang putih  dihiris halus


Cili kering yang dikisar




Cara membuatnya

1.   Panaskan minyak dalam kuali.  Masukkan hirisan bawang dan tumis sehingga naik baunya.
2.    Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga rata. 
3.    Masukkan daging dan gaul lagi sehingga rata.   Biarkan lama sedikit untuk mendapatkan daging yang empuk.
4.    Masukkan udang/sotong dan gaul sehingga rata. Kemudian masukkan bebola ikan atau kek ikan. Gaul sehingga rata.
5.    Masukan sos tomato, sos cili, kicap, sos tiram.   Gaul lagi.
6.    Masukkan sayur sawi.   Jika suka anda  boleh masukkan telur ayam sebiji atau dua biji (ikut suka).
7.     Masukkan garam, gula dan perasa.  Jika sudah nampak cili sudah nampak warna kegelapan sedikit boleh masukkan bihun yang ditos tadi.    Apabila bihun dimasukkan anda boleh gunakan dua sudip untuk menggaul bagi memudahkan bahan tumisan tadi dapat digaulkan dengan bihun sama rata. 
8.     Setelah bihun anda nampak sekata warna kuning oren, masukkan taugeh.   Tutup api supaya taugeh tidak lecur.   Kacau sehingga rata.   Dah siap bolehlah makan dengan keluarga atau tetamu.





Bihun yang digoreng


Tambah taugeh


Bihun yang dicampur dengan taugeh


Hidang dalam bekas yang mudah diambil


Hias dengan daun bawang dan daun sup untuk menaikkan aroma









Ahad, 6 Jun 2021

Sup Kambing Ala Mamak

Bila cerita tentang sup kambing ala mamak, sudah semestinya menjadi kesukaan keluargaku.   Boleh dikatakan setiap kali beli kambing, aku akan memasak kari kambing, kambing bakar ataupun sup kambing.  Antara  sup kambing yang menjadi kegemaran suamiku di Jalan Pahang, Setapak.  Sudah pelbagai resepi aku cuba untuk mendapat rasa seperti di Jalan Pahang   Alhamdulillah  akhirnya, Allah telah memberi jalan untuk aku mendapatkan resepi tersebut melalui youtube, apabila aku mencuba resepi itu.

Untuk menjadikan sup kambing tersebut betul-betul sama rasanya, anda semua perlu mengetahui bahan-bahan tersebut dan boleh membelinya sebelum anda memulakan masakan tersebut.

Bahan yang perlu anda sediakan seperti berikut;

Daging kambing  - terpulang kepada anda berapa kuantitinya tetapi saya suka yang ada tulang-tulang sebab kalau dagingnya muak juga.

Serbuk sup - terpulang kepada anda untuk menggunakan apa jua jenama.   Kali ini saya menggunakan serbuk Adabi, kerana jenama Faiza telah habis. 😎

Rempah ratus - Buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih,

Bahan-bahan lain

Bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, akar dan daun ketumbar,  cili besar hijau, biji sawi, halba, serbuk kunyit, kiub perasa lembu, santan (boleh juga santan kotak), minyak masak, garam.

Cara membuatnya

 1. Kisar bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas dan akar pokok ketumbar sehingga halus.  

2.   Masukkan minyak masak sebagaimana anda hendak buat gulai kari.  Masukkan biji sawi, halba, dan rempah ratus dan serbuk kunyit. Tumis sehingga naik baunya.

3.  Masukkan bahan yang dikisar tadi - bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, akar ketumbar sehingga naik baunya.

4.  Masukkan rempah sup dan kacau sehingga pecah minyak. Jika kering masukkan air (jangan masukkan minyak sebab daging kambing ada lemak)

5.   Kemudian masukkan daging kambing ke dalam rempah yang ditumis tadi.  Saya nak makan sup pada hari itu, saya terus masukkan daging kambing ke dalam rempah yang ditumis tadi. Jika dalam youtube daging kambing diperap semalaman bersama rempah yang ditumis tadi.  

6.   Masukkan air dan kacau hingga rata.  Masukkan serai, kiub daging lembu dan masak hingga empuk.  Masukkan daun ketumbar yang telah dipotong kecil.

7.   Masukkan garam dan santan.   Masak sekejap sehingga masak.   Sedap dimakan ketika panas dan sedap juga dimakan dengan roti keping.

Selamat mencuba.


Daging Kambing


Cuci dengan tepung gandum untuk hilangkan bau hamis


Sup Kambing siap untuk dimakan 😋😋😋







Sabtu, 18 Julai 2020

Nasi Arab Mandy

Saya pernah mencari suatu barangan di Shopee. Entah macam mana tiba² aku terpandang rempah untuk dibuat nasi arab.  Lantas aku buat tempahan. Produk itu namanya Rempah Mandy jenama SMFood.

Ketika barangan diterima, aku mula mencari daging ayam dan bahan² lain untuk dibuat nasi arab termasuklah beras basmathy.

Akhirnya terjadilah nasi arab mandy yg sangat cantik warna nasinya dan warna ayam yg diperap dengan rempah m andi tersebut.
 
Rasa nasi tersebut sangat lembut dan sedap. Begitu juga daging ayamnya berwarna oren bercampur kuning menaikkan selera. 







Cara masak yang sangat mudah, hanya merebus ayam sehingga empuk. Kemudian ditos dan perap dengan rempah mandi.  Selepas itu letakkan ayam² yang diperap dlm bekas kukus dan masak bersama nasi. Air rebusan akan jatuh pada nasi dan itu yg menyebabkan nasi berwarna kuning oren.

Memandangkan masa dah lewat, aku hanya buat sambal asam.

Rabu, 15 April 2020

Ikan Jenahak Masak Cuka

Masakan ini masakan orang lama terutama ibuku sering buat masakan ikan masak cuka.  Apa-apa ikan pun sedap.  Hari ini saya teringin hendak makan ikan jenahak.  Sama ada hendak buat gulai kari ataupun masak cuka.   Untuk mengelakkan daripada masakan berlemak akhirnya saya memutuskan untuk membuat masak 

Bahan-bahannya

Ikan Jenahak seekor yang sedang
Timun (1/2 biji)
Lobak Merah (1 biji)
Bawang merah (4 biji sedang dipotong empat)
Bawang putih 4 ulas (dipotong dua)
Serbuk kunyit (1/2 sudu)
Halia 1/2 inci
Minyak masak 3 sudu
Cuka 4 sudu
Cili merah 2 biji (dipotong dua)
Biji sawi (1 sudu)
Garam
Gula 1 sudu

Caranya

1. Ikan jenahak dipotong kecil dan digoreng dengan kunyit dan garam. Ketepikan dahulu.

2. Tumis bawang merah, bawang putih, halia, biji sawi ke dalam periuk yang berisi minyak masak hingga naik baunya.  Masukkan cuka dan kacau hingga rata.

3.  Masukkan lobak merah, timur yang dipotong kecil serbuk kunyit, cili merah dan kacau hingga sebati.  Masukkan segelas air.  Masukkan garam dan gula secukup rasa.  Kacau hingga rata dan masak.




Jumaat, 16 Mac 2018

Sup Kambing

Aku dan keluargaku memang suka makan sup kambing.  Antara yang paling aku suka di Jalan Pahang, di belakang masjid.   Di restoran tersebut juga menjual sup lain seperti sup lembu, sup ayam dan tidak ketinggalan popia basah yang juga menjadi kegemaran suamiku dan anak-anakku.   Aku pula makan kambing tersebut dan dicicah dengan roti untuk mengelakkan supaya perutku tidak penuh sekiranya aku sudah makan nasi di waktu tengahari.


Pernah juga aku mengendeng kepada pekerjanya untuk mendapatkan resepi sup tersebut atau apakah rempah yang mereka guna.  Tetapi biasalah adat orang berniaga, mana mungkin mereka akan memberinya kerana itu adalah rahsia supaya pelanggan akan sentiasa akan pergi ke restoran tersebut untuk merasai keenakan sup kambing mereka.

Aku juga pernah mencuba menggunakan pelbagai resepi untuk mendapatkan rasa yang sama seperti sup di Jalan Pahang tersebut.   Tetapi semuanya gagal belaka.  Pernah juga seorang kawan sepejabatku memasak sup tulang di pejabat menggunakan periuk yang menggunakan tekanan (presure cooker), walaupun sedap tetapi rasa sup tersebut masih tidak sama dengan restoran tersebut. 

Suatu hari, selepas aku menemani suamiku ke IJN untuk membuat CT-Scan, kami berdua lantas ke sana untuk makan tengahari.    Perutku terasa lapar kerana sejak dari pagi tadi aku tidak bersarapan kerana kami perlu segera ke IJN kerana telah membuat temujanji  di IJN jam 10.00 pagi.   Suamiku dikehendaki berpuasa selewat-lewatnya 4 jam sebelum membuat CT-Scan tersebut dan ini bermakna dengan aku sekali berpuasa supaya kami sampai pada waktunya.

Aku memesan sup kambing dengan nasi kosong dan suamiku pula sup kambing dengan popia basah.   Aku cuba merasai kuah sup tersebut sambil memikir  rempah apakah yang digunakan oleh restoran tersebut.    Ini adalah kerana di peti aisku sudah ada tulang lembu yang aku beli untuk aku buat sup tulang.

Sup Kambing di Jalan Pahang


Kebetulan pada suatu hari, aku tidak datang ke pejabat kerana kepalaku sakit dan badanku juga tidak sihat,  lantas aku mengambil keputusan untuk membuat sup tulang.   Di dalam kepalaku sedang memikirkan untuk membuat sup tulang ala masakan Siam atau sup tulang ala masakan mamak.   Akhir sekali aku mengambil keputusan untuk membuat sup tulang ala masakan mamak.

Dengan menggunakan campuran rempah dengan  nisbah 1:2, iaitu 1 senduk nasi rempah kurma dan 2 senduk nasi serbuk ketumbar, aku pun menumis rempah campuran tersebut dan seterusnya masukkan tulang dan air dan masak sehingga empuk.   Ketika aku mereneh tulang tersebut supaya lembut, anakku yang baru pulang dari sekolah bertanya apakah yang aku masak hari itu kerana baunya yang sangat menyelerakan.

Setelah aku memasukkan garam dan aku cuba untuk merasai sup tersebut, alangkah gembiranya hatiku kerana rasanya juga hampir sama dengan sup di Jalan Pahang.   Alhamdulillah akhirnya aku berjaya juga untuk membuat sup tersebut dan tidak perlulah aku ke sana lagi sekiranya aku boleh memasaknya sendiri.






Isnin, 7 Ogos 2017

Nasi Beriyani Kambing

Aku memang tidak pandai masak nasi beriyani.  Selalu juga teringin untuk memakannya jika sudah lama tiada jemputan majlis kahwin.   Sejak aku ditukarkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada tahun 2014, aku sudah mula belajar untuk masak nasi beriyani ataupun nasi minyak.   Ini disebabkan seorang kawanku pandai masak nasi minyak sekiranya bahagian kami mengadakan majlis hari raya.  Sebanyak 5 kg beras basmati akan digunakan untuk masak nasi minyak atau beriyani.

Disamping itu, ada pula yang menjual Nasi Arab Yemen yang terdiri daripada beras dan ramuanya  tersendiri untuk memasak nasi Arab.  Apabila aku memasak nasi Arab tersebut berkali-kali maka aku mencuba resepiku sendiri untuk memasak nasi minyak ataupun beriyani.



Nasi Beriyani

Beras - 4 cawan kecil
Bawang kecil - 6 ulas
Bawang putih - 4 ulas
Kulit kayu manis - satu inci
Bunga lawang - 3 buah
Buah pelaga - 10 buah
Kismis - 20-30 buah
Buah badan - 10 biji
Susu cair - setengah tin
Mentega - 1/4
Minyak sapi jika suka, atau minyak masak sesenduk kecil
Rempah beriyani (jika hendak buat nasi beriyani)
Daun ketumbar dan bawang goreng
Pewarna oren/safron
secubit garam - mengikut suka
Air bersih dalam .

Caranya:

Beras dibasuh dan ditoskan (biarkan dalam 5-10 minit)
Bawang kecil, bawang putih ditumbuk.
Mentega dipanaskan dalam periuk dan campurkan minyak sapi.
Tumis bawang kecil dan bawang putih yang ditumbuk, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang ke dalam periuk sehingga naik baunya.
Masuk susu cair dan kismis buah badam kacau sehingga rata.
Masukkan beras dan air jika susu cair tidak menutupi keseluruhan beras.  Jangan gunakan banyak air kerana nasi akan menjadi lembik.
Apabila nasi telah masak, tuangkan dua tiga titik pewarna oren atau air safron di atas permukaan nasi yang telah dimasak.  Biarkan sehingga sejuk baru gaul nasi supaya nasi berubah warna bercampur oren.









Rabu, 19 Jun 2013

Ais Krim Malaysia Perisa Asam Boi

Ais krim malaysia ini amat digemari kanak-kanak, walaupun begitu orang dewasa pun amat menyukainya terutama pada waktu tengahari.

Ais Krim Malaysia perisa asam boi


Esok Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengadakan Karnival DBP sempena menyambut hari ulang tahun DBP yang telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Bukit Chandan, Johor Bahru.  Sekarang DBP  telah pun mempunyai bangunan yang tersergam indah di Jalan Dewan Bahasa.  Bahagian Komunikasi Korporat telah mempelawa setiap bahagian untuk turut serta dalam membuat jualan untuk menceriakan suasana.   Aku juga ingin turut serta dalam karnival tersebut.  Memandangkan staf di Ptd. Jabatan Penerbitan tidak ramai, lantas aku merancang untuk menjual barangan kering seperti kekacang, keropok bantal, kuaci biji matahari dll. Aku juga telah membeli meja tambahan RM5.00 untuk aku menjual barangan peribadiku seperti bebola sotong, nugget, sosej dan juga Ais Krim Malaysia perisa asam boi dan kacang hijau.  Di sini aku sertakan resepi untuk membuat bahan Ais Krim Malaysia perisa asam boi.

Bahannya

Asam boi merah
Asam boi putih
Gula kasar
Air
(Kuantiti terpulang pada anda)

Masukkan air ke dalam bekas yang agak besar.
Panaskan air.  Masukkan asam boi merah, asam boi putih dan gula.
Biarkan hingga betul-betul masak dan menggelegak.
Sejukkan apabila telah betul-betul masak.

Apabila telah sejuk masukkan ke dalam plastik dan masukkan juga sebiji dua asam boi ke dalam plastik tersebut.
Ikat dengan padat dan ketat.
Masukkan ke dalam peti sejuk.

Nah!! leganya apabila anda betul-betul dahaga...sedapnya..........

Ahad, 19 Mei 2013

Nasi Lemak Ikan Bilis






Aku amat menyukai nasi lemak.  Boleh dikatakan 3 kali seminggu aku akan memakan nasi lemak.  Kadang kala aku membuat nasi lemak di hujung minggu.   Anak-anakku juga menggemari nasi lemak.  Bagi ibu-bu muda yang ingin membuat nasi lemak, di sini disertakan resepinya.


Bahan Untuk Nasi Lemak

3 pot beras
sedikit air
santan
secubit garam
1/4 inci halia
sehelai daun pandan

Cara:

Basuh beras 2-3 kali.
Masukkan air mengikut sukatan (kurangkan sedikit supaya tidak lembik)
masukkan santan, garam, halia dan daun pandan.
Tanak sehingga masak. 

Bahan untuk Sambal Tumis

Ikan bilis - terpulang mengikut jumlah
Cili kering 15  - 20 biji
Bawang besar - 2 ketul
Bawang kecil - 5 - 6 biji
Minyak masak
Garam
Gula
Asam jawa

Cara:

Cili kering direbus hingga lembut.  Basuh dan buang bijinya. Kisar bersama bawang besar 1 biji, bawah kecil sehingga lumat.
Goreng ikan bilis sehingga setengah garing dan asingkan.
Panaskan sedikit minyak.  Masukkan cili yang dikisar.  Masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi.  Kacau sehingga rata dan sebati.  Masukan garam, gula, air asam jawa.  Apabila betul-betul masak masukkan kepingan bawang besar yang telah dipotong bulat.

Sayur Kangkung Goreng

Bahan:

Sayur kangkung
Bawang kecil 2 biji
bawang putih 1 ulas
ikan bilis


Cara:

Bawang kecil, bawang putih dan ikan bilis ditumbuk halus.
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga naik baunya.
Masukkan sedikit garam.  Kemudian masukkan sayur kangkung.  Kacau sehingga sebati. Apabila sudah sebati bolehlah diangkat.

Telur direbus dan dibuang kulit.  Potong dua.
Timun di potong kecil.
Kacang tanah digoreng bersama ikan bilis halus. Setelah masak masukkan sedikit  garam dan gaul.



 
 
 





Jumaat, 22 Mac 2013

Ayam Masak Merah




Ayam Masak Merah
 
Bahan:

1/2 ekor ayam (terpulang jika ramai buatlah seekor ayam)
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1/4 inci halia
1/4 inci lengkuas
1 batang serai
2 biji buah tomato
1 biji buah keras - ditumbuk
4-5 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos tomato
minyak masak 4-5 sudu
2 sudu cili kisar (cili kering yang dikisar jika hendak pedas sedikit)
Garam secukup rasa
1/2 sudu gula perang
2 keping asam keping

Cara:

1.  Ayam dibasuh bersih.   Goreng ayam  (jangan terlalu masak) angkat dan asingkan.
2.  1 biji bawang besar dihiris bulat-bulat atau setengah bulat.  Asingkan.
3.   Dua biji bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, buah tomato dikisar halus (campur sedikit air).
4.  Tumis bahan yang telah dikisar tadi. 
5.  Masukkan cili kisar.
6.  Masukkan tomato sos dan cili sos. Gaul hingga sebati.
7.  Masukkan ayam, buah keras, gula dan asam asam keping.  Gaul lagi hingga ayam sebati dengan kuahnya.
8.  Masukkan garam secukup rasa.
9.  Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris bulat-bulat atau setengah bulat.
10.  Gaul sehingga kelihatan  warna agak merah gelap sedikit.
11.  Jika anda suka yang berkuah, jangan masak terlalu lama.  

Letakkan di dalam bekas.  Untuk menambahkan seri pada ayam masak merah, potong cili besar bentuk bunga dan letakkan sedikit daun salad di atas masakan anda.
Sedap dimakan bersama nasi putih.

Selamat mencuba.




Sabtu, 4 Ogos 2012

Udang Goreng Butter





Bahan:
Udang Besar
5 sudu besar buttercup
2 biji putih telur dan 1 biji kuning telur (dipukul)
1/4 cawan susu cair
2 biji bawang putih (dicincang)
sedikit lada hitam
Garam dan  sedikit gula.
Caranya:
1. Panaskan 2 sudu besar buttercup ke dalam kuali.  Goreng udang besar hingga setengah masak.  Angkat dan ketepikan dahulu.
2.  Tambah 3 sudu besar buttercup tadi dalam ke dalam kuali di atas api yang sederhana.
3.  Masukkan bawang putih dan kacau.  Kemudian masukkan telur dan kacau selalu.  Gunakan hujung garpu untuk mengacaunya.
4.  Masukkan susu cair, garam dan gula.  Kacau sehingga semuanya sebati.
5.  Akhir sekali masukkan udang setengah masak tadi dan goreng hingga garing.
Cubalah, amat mudah dan ringkas.
Sumber: Facebook (Masakan bonda)

read more at here

Ahad, 8 Julai 2012

Nasi Ayam

Nasi Ayam

Bahan:
Beras - ikut berapa ramai orang
Ayam - 1 ekor
Halia  tua 1/2 inci
Halia muda - 1/4 inci
Bawang kecil - 3-4 biji
Bawang putih 10 ulas
buah tomato - 3 - 4 biji
Cili kampung/Cili Api - 4=5 biji
Cili besar - 5 biji
Daun salad
Timun
Kicap pekat
Bawang putih
kiub sup ayam
kulit kayu manis
bunga lawang
buah pelaga 3-4 biji

Cara:

A.  Sup Ayam
1. Ayam dibelah empat.  Basuh sehingga bersih.
2. Rebus ayam bersama air ke dalam periuk.  Biarkan sehingga ayam ditenggelami air     sepenuhnya (kerana air rebusanan ayam nanti akan digunakan untuk menanak nasi).
3. Hiris bawang kecil (3-4 biji), bawang putih (4-5 ulas) dan halia tua.  Masukkan ke dalam  periuk yang berisi  ayam.
4.  Masukan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
5.  Masukan kiub sup ayam (1/4 sahaja).
6.  Apabila sudah menggelegak, tuang air rebusan ayam ke dalam mangkuk besar.  Jangan habiskan kerana baki air rebusan boleh digunakan semasa makan nanti.
7.  Keluarkan ayam dan letakkan dalam bekas besar (besen plastik).
8.  Jika air rebusan tinggal sedikit tambah air dan rebus hingga mendidih. Masukkan garam dan daun sup.

B.  Nasi Ayam
1. Basuh beras.  Apabila air bilasan telah dibuang, Masukkan air rebusan tadi ke dalam periuk nasi.  Air hendaklah  cukup seperti anda memasak nasi biasa.  
2. Masukkan sesudu mentega dan sedikit garam.  
3. Tanak sehingga masak.


C. Ayam Goreng
1. Masukkan kicap anggaran 1/4 cawan kecil. 
2. Tumbuk bawang putih 4-5 ulas bawang kecil.  Campurkan ke dalam ayam yang telah dicampur kicap tadi.
3. Masukkan sedikit madu lebah (1-2 sudu)
4. Gaul kesemuanya dengan ayam dan biarkan dalam 30 minit supaya sebati.
5. Setelah 30 minit bolehlah digorengayam tersebut dengan menggunakan minyak masak.


D. Sos Ayam
1. Ambil Cili Api dan cili besar. Masukkan ke dalam blender.
2. Masukkan buah tomato sebanyak 2 biji. 
3. Masukkan halia muda 1/4 inci.
4.  Masukkan air yang sudah dimasak ke dalam blender.
5.  Blend bahan no. 1 hingga no. 5.
6. Apabila sudah siap diblend, masukkan ke dalam periuk kecil.  
7. Masukkan sedikit gula (1 sudu kecil), dan tomato sos.
8.  Masakkan sos tadi supaya lebih tahan lama...

E. Sos Kicap
Baki air kicap di dalam besen tadi dimasukkan ke dalam mangkuk untuk dibuat sos kicap.


Apabila kesemuanya telah siap dari A-E, bolehlah dihias seperti gambar di bawah untuk menarik perhatian anak-anak.
Selamat mencuba...
(Sumber gambar di 
http://posts.fanbox.com/ttqp4)


Ayam Goreng dihias dengan timun dan  buah tomato

Nasi Ayam
sos 

sup ayam

set Nasi Ayam


Anakku makan nasi ayam sebelum ke sekolah













Nasi Arab Kabsah Ayam

  Hari ni nak kongsi nasi arab kabsah ayam yang saya sudah cuba beberapa kali.   Sebelum saya mencuba untuk membuatnya, terlebih dahulu saya...